KUALA LUMPUR 9 Mac – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menegaskan pemilik cap dagangan Nasi Kak Wook boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menciplak, mengguna jenama dan logonya tanpa kebenaran bertulis.

MyIPO dalam satu kenyataan memberitahu, hasil semakan yang dilakukan pihaknya mendapati bahawa jenama dan logo Nasi Kak Wook Original Recipe The Taste Is Begin 1970 telah didaftarkan pada 17 Oktober 2014.

“Ia telah didaftarkan di bawah pemilikan sah penama Mastura Ibrahim, Che Ab. Aziz Amat dan Maheran Ibrahim dengan alamat perniagaannya terletak di off Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, pelanggaran cap dagangan termasuk penggunaan cap dagangan yang serupa atau yang menyerupai dan cap dagangan berdaftar sehingga ia mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan pengguna. – UTUSAN ONLINE