PEWARIS jenama Nasi Kak Wook mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi penggunaan jenama dan logonya tanpa kebenaran bertulis.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam satu kenyataan berkata, semakan dibuat di dalam Sistem Pendaftaran Cap Dagangan Malaysia mendapati, jenama dan logo ‘€˜Nasi Kak Wook Original Recipe The Taste Is Begin 1970’ didaftarkan pada 17 Oktober 2014.

Katanya, ia didaftarkan di bawah pemilikan sah penama Mastura Ibrahim, Che Ab Aziz Amat dan Maheran Ibrahim yang beralamat perniagaan di Nasi Kak Wok, Lot 9 Jalan Asrama Zainab, Off Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan.

“Pihak MyIPO selaku pendaftar dan custodian (penjaga) harta intelek di Malaysia ingin menegaskan bahawa pendaftaran jenama dan logo ini diiktiraf undang-undang Malaysia di bawah Akta Cap Dagangan 1976.

“Pemilik sah cap dagangan ini mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi penggunaan jenama dan logonya tanpa kebenaran bertulis.

“Seperti termaktub di bawah Seksyen 38 Akta Cap Dagangan 1976, pelanggaran cap dagangan adalah termasuk penggunaan cap dagangan serupa atau yang menyerupai cap dagangan berdaftar sehingga ia mungkin menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya.

Kenyataan itu susulan masalah penggunaan jenama Nasi Kak Wook yang semakin meluas sehingga mendatangkan beberapa masalah kepada pewaris.

MyIPO turut menasihati orang ramai termasuk golongan usahawan untuk menghormati hak harta intelek dan tidak melakukan kesalahan menciplak kerana ia adalah salah di sisi undang-undang.

Akhbar NSTP hari ini melaporkan perusahaan Nasi Kak Wook yang cukup terkenal di Kelantan menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menciplak jenama itu bagi mengaut keuntungan mudah.

Perniagaan nasi campur yang hanya memiliki enam cawangan di sekitar Kota Bharu itu diciplak sehingga boleh didapati di seluruh Kelantan, malah turut menular ke Kuala Lumpur dan Selangor.

Malah, ada pihak membuat aduan kepada pihak berwajib supaya mengarahkan warisnya membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kononnya mereka memiliki puluhan cawangan seperti didakwa.

Lebih mengusutkan keadaan ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjalankan aktiviti berhutang dan menyamar sebagai pemilik Nasi Kak Wook, sekali gus mencalarkan imej perusahaan itu.